SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SK SUNGAI SUGAI

Isnin, 28 Oktober 2013

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE BANDARAYA KUCHING

Assalamulaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak,

     Selepas berakhirnya UPSR, murid-murid tahun 6 bukan sahaja mengikuti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah  malah mereka turut dilibatkan dalam aktiviti-aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada sekolah. Banyak aktiviti yang boleh dilaksanakan agar murid-murid tidak berasa bosan setelah sembilan bulan bertungkus-lumus mentelaah buku dan menghadiri kelas-kelas tambahan yang dijalankan oleh guru-guru. Pihak sekolah haruslah merancang aktiviti yang bersesuaian dengan mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar supaya kemahiran murid-murid dapat diperkembangkan dan ditingkatkan. Murid-murid akan berasa seronok jika aktiviti tersebut diadakan di luar kelas dalam suasana santai tanpa menekankan aspek pembelajaran yang formal.
        Aktiviti-aktiviti pasca UPSR perlu diperluaskan dengan mendedahkan murid-murid kepada dunia luar serta tidak terkongkong persekitaran yang serupa. Aktiviti yang sesuai untuk menerapkan elemen pengalaman baharu ialah lawatan sambil belajar. Baru-baru ini, pihak sekolah SK Sungai Sugai, telah berjaya membawa rombongan murid-murid tahun enam melawat ke bandaraya Kuching. Seramai 27 orang murid diiringi oleh 7 orang pegawai yang terdiri daripada guru-guru dan PPM bersama beberapa orang ibu bapa telah bertolak dari sekolah pada 30 September yang lalu.
                                
                                          

          Perjalanan ke bandaraya Kuching yang memakan masa selama 8 jam agak memenatkan namun kepenatan itu telah hilang sebaik sahaja sampai ke destinasi pertama iaitu Taman Buaya Jong. Taman buaya yang  bertemakan zoo mini ini menempatkan pelbagai spesis buaya dan hidupan liar yang lain. Apa yang menarik semasa melawat ke Taman Buaya Jong ialah ketika melihat aksi buaya makan.
                                     
                                            

                                            
     Bandaraya Kuching sangat sesuai dijadikan destinasi lawatan bagi murid-murid kerana mempunyai banyak tempat menarik serta jarak di antara satu tempat dengan tempat yang lain tidak terlalu jauh dan sudah tentu keadaan ini dapat menjimatkan masa. Oleh yang demikian, lawatan ke bandaraya Kuching ini diadakan selama dua malam tiga hari sahaja. Selain daripada Taman Buaya Jong, murid-murid juga telah dibawa melawat ke Dewan Undangan Negeri yang baharu, RTM, Muzium Negeri, Muzium Kucing dan Kampung Budaya.
       Rombongan lawatan pada kali ini diketuai oleh Guru Besar iaitu Encik Rambli yang begitu prihatin dengan kebajikan dan keselamatan murid-murid. Pihak kami berasa sangat bersyukur kerana tiada kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang lawatan ini.
       Lawatan seperti ini sudah tentunya melibatkan kos yang agak tinggi, untuk itu pihak sekolah mengambil inisiatif dengan meminta murid-murid membuat tambungan pada awal tahun lagi. Wang tambungan itu adalah untuk perbelanjaan  mereka sendiri iaitu untuk membeli makanan dan bayaran masuk ke tempat-tempat yang mengenakan bayaran. Pihak sekolah berasa bertuah kerana Yang Berhormat Tan Sri William Mawan Anak Ikom telah sudi menghulurkan bantuan kewangan kepada tabung lawatan ini. Untuk itu, pihak sekolah ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri dan keluarga yang bermurah hati dan tidak berbelah bahagi menghulurkan bantuan serta layanan semasa lawatan kami ke Kuching.
                  
















Tiada ulasan: