SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SK SUNGAI SUGAI

Rabu, 30 Januari 2013

MESYUARAT AGUNG PERTAMA PIBG 2013

Mesyuarat agung pertama PIBG SK Sungai Sugai bagi tahun 2013 telah diadakan pada 28 Januari 2013. Mesyuarat pada kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pihak ibu bapa dengan kehadiran mencecah 150 orang. Mesyuarat yang bermula pada pukul 2.00 petang itu berlangsung dengan lancar dan agenda mesyuarat dapat dibincangkan secara menyeluruh. 

Guru Besar bersama sebahagian daripada AJK PIBG sesi 2012/2013


Setiausaha PIBG SK Sungai Sugai, Encik Robin sedang membaca minit mesyuarat


Sebahagian daripada ibu bapa yang hadir 



Selasa, 29 Januari 2013

TERIMA KASIH

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Cik Priscilla Leong atas usaha dan komitmen beliau terhadap tugas ketika berada di SK Sungai Sugai. Beliau telah sama-sama terlibat dengan memberi  sumbangan yang tidak berbelah bahagi terhadap kejayaan para pelajar di sekolah ini. Atas inisiatif beliau bersama rakan-rakan yang lain, maka telah berlaku perubahan yang ketara dapat dilihat pada keceriaan di dewan, asrama lelaki dan asrama perempuan.  Atas prinsip ingin mencari pengalaman baru maka beliau telah berpindah ke  SK Lubuk Assam, Julau pada 29 Januari 2013. Sebagai menghargai jasa beliau, satu majlis perpisahan  telah diadakan dengan dihadiri oleh semua guru dan kakitangan SK Sungai Sugai. 

  1. Cik Priscilla ialah Pembantu Pengurusan Murid Gred N17 yang telah berkhidmat di 
    SK Sungai Sugai bermula 25 September 2006.

Guru Besar menyampaikan cendera mata kepada  Cik Priscilla








Selasa, 22 Januari 2013

Majlis Permuafakatan Guru dan Ibu Bapa Tahun Satu 2013

Majlis Permuafakatan di antara guru dan ibu bapa murid-murid Tahun Satu 2013 telah diadakan pada 21 Januari 2013 bertempat di dewan makan, SK Sungai Sugai. Seramai 25 orang ibu bapa telah hadir pada majlis tersebut yang bermula pada pukul 9.00 pagi. Pihak sekolah telah diwakili oleh Encik Rambli Bin Jidi (Guru Besar), Puan Julan Edward (Guru Penolong Kanan Kurikulum), Puan Busi Anak Dundang (Guru Kelas Tahun Satu), Encik Robin Anak Lindang( Guru Penyelaras Linus), Encik Gait Jilom ( Guru Pemulihan Khas Linus).
Pada majlis tersebut, ibu bapa telah diberi taklimat tentang perjalanan program transisi yang telah dijalankan selama tiga minggu bermula 3 Januari yang lepas. Puan Busi selaku guru kelas Tahun Satu telah mengambil kesempatan untuk menerangkan secara terperinci tentang objektif serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh murid-murid tahun satu kepada ibu bapa. Beliau turut mengulas tentang keberkesanan program tersebut yang mampu membantu  murid-murid menempuhi suasana pembelajaran yang agak berlainan semasa mereka berada prasekolah dan tadika kemas.
Encik Robin yang menjadi Penyelaras Linus peringkat sekolah telah menyentuh tentang latar belakang Linus serta rasional KPM mewujudkan program tersebut sehingga ke peringkat nasional kepada ibu bapa. Beliau menerangkan tentang  konstruk-konstruk yang akan diuji dalam saringan-saringan yang akan dijalankan sebanyak tiga kali sehingga bulan September. Beliau juga meminta kerjasama daripada ibu bapa untuk membimbing dan mengajar anak-anak mereka tentang konstruk asas jika mereka dikesan belum menguasai kemahiran tersebut melalui saringan yang dijalankan nanti. Ibu bapa boleh mengambil peluang untuk berbuat demikian apabila anak-anak mereka berada di rumah panjang.
Dalam taklimat yang disampaikan oleh Guru Besar, beliau telah mengulas tentang program-program yang dijalankan untuk murid-murid tahun Satu oleh pihak sekolah. Majlis perjumpaan dengan ibu bapa ini juga telah memberi ruang kepada beliau bagi menerangkan tentang peranan mendidik anak-anak yang bukan hanya digalas oleh pihak guru semata-mata malah pihak ibu bapa juga perlu memberi kerjasama yang jitu. Dengan kerjasama ini maka hasrat untuk meneruskan kecemerlangan dan kejayaan sekolah akan menjadi kenyataan.
Majlis permuafakatan ini telah menerima maklum balas yang positif daripada pihak ibu bapa. Bagi pihak sekolah, majlis ini juga adalah kesempatan terbaik untuk menyampaikan tentang dasar-dasar yang dilaksanakan peringkat sekolah serta perkara yang berkaitan dengan pembelajaran anak-anak mereka.






Selamat Datang



Warga SK Sungai Sugai sangat mengalu-alukan kedatangan Guru Besar SK Sungai Sugai yang baru iaitu Encik Rambli Bin Jidi yang mula bertugas pada 3 Januari 2013. Beliau sebelum ini ialah Guru Penolong Kanan Kurikulum di SK Agama Sarkei.