SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SK SUNGAI SUGAI

Isnin, 28 Oktober 2013

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE BANDARAYA KUCHING

Assalamulaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak,

     Selepas berakhirnya UPSR, murid-murid tahun 6 bukan sahaja mengikuti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah  malah mereka turut dilibatkan dalam aktiviti-aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada sekolah. Banyak aktiviti yang boleh dilaksanakan agar murid-murid tidak berasa bosan setelah sembilan bulan bertungkus-lumus mentelaah buku dan menghadiri kelas-kelas tambahan yang dijalankan oleh guru-guru. Pihak sekolah haruslah merancang aktiviti yang bersesuaian dengan mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar supaya kemahiran murid-murid dapat diperkembangkan dan ditingkatkan. Murid-murid akan berasa seronok jika aktiviti tersebut diadakan di luar kelas dalam suasana santai tanpa menekankan aspek pembelajaran yang formal.
        Aktiviti-aktiviti pasca UPSR perlu diperluaskan dengan mendedahkan murid-murid kepada dunia luar serta tidak terkongkong persekitaran yang serupa. Aktiviti yang sesuai untuk menerapkan elemen pengalaman baharu ialah lawatan sambil belajar. Baru-baru ini, pihak sekolah SK Sungai Sugai, telah berjaya membawa rombongan murid-murid tahun enam melawat ke bandaraya Kuching. Seramai 27 orang murid diiringi oleh 7 orang pegawai yang terdiri daripada guru-guru dan PPM bersama beberapa orang ibu bapa telah bertolak dari sekolah pada 30 September yang lalu.
                                
                                          

          Perjalanan ke bandaraya Kuching yang memakan masa selama 8 jam agak memenatkan namun kepenatan itu telah hilang sebaik sahaja sampai ke destinasi pertama iaitu Taman Buaya Jong. Taman buaya yang  bertemakan zoo mini ini menempatkan pelbagai spesis buaya dan hidupan liar yang lain. Apa yang menarik semasa melawat ke Taman Buaya Jong ialah ketika melihat aksi buaya makan.
                                     
                                            

                                            
     Bandaraya Kuching sangat sesuai dijadikan destinasi lawatan bagi murid-murid kerana mempunyai banyak tempat menarik serta jarak di antara satu tempat dengan tempat yang lain tidak terlalu jauh dan sudah tentu keadaan ini dapat menjimatkan masa. Oleh yang demikian, lawatan ke bandaraya Kuching ini diadakan selama dua malam tiga hari sahaja. Selain daripada Taman Buaya Jong, murid-murid juga telah dibawa melawat ke Dewan Undangan Negeri yang baharu, RTM, Muzium Negeri, Muzium Kucing dan Kampung Budaya.
       Rombongan lawatan pada kali ini diketuai oleh Guru Besar iaitu Encik Rambli yang begitu prihatin dengan kebajikan dan keselamatan murid-murid. Pihak kami berasa sangat bersyukur kerana tiada kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang lawatan ini.
       Lawatan seperti ini sudah tentunya melibatkan kos yang agak tinggi, untuk itu pihak sekolah mengambil inisiatif dengan meminta murid-murid membuat tambungan pada awal tahun lagi. Wang tambungan itu adalah untuk perbelanjaan  mereka sendiri iaitu untuk membeli makanan dan bayaran masuk ke tempat-tempat yang mengenakan bayaran. Pihak sekolah berasa bertuah kerana Yang Berhormat Tan Sri William Mawan Anak Ikom telah sudi menghulurkan bantuan kewangan kepada tabung lawatan ini. Untuk itu, pihak sekolah ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri dan keluarga yang bermurah hati dan tidak berbelah bahagi menghulurkan bantuan serta layanan semasa lawatan kami ke Kuching.
                  
















Selasa, 8 Oktober 2013

KANIVAL GERAKAN MEMBACA 2013




Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak,

Pada minggu yang lepas, saya berkesempatan mengiringi dua orang murid tahun lima untuk menyertai kanival gerakan membaca anjuran BTPN di hotel Premier, Sibu. Dalam surat jemputan yang diterima, terdapat 15 buah sekolah rendah dan 15 buah sekolah menengah dikenendaki menghantar dua orang peserta yang terdiri lelaki dan perempuan. Sekolah-sekolah yang dijemput berada dalam daerah Dalat, Daro, Julau, Kanowit,Meradong, Mukah,Sarikei,Selangau dan Sibu.
     Saya difahamkan bahawa kanival gerakan membaca ini diadakan bagi memberi peluang kepada murid-murid dan guru pengiring yang terdiri daripada Guru Perpustakaan dan Media mengalami sendiri aktiviti-aktiviti yang bermatlamatkan pencarian maklumat. Pada masa yang sama, murid-murid akan menyertai beberapa pertandingan yang berkaitan dengan buku, antaranya ialah pertandingan bercerita dan resensi buku.
        Murid-murid yang menyertai kanival pada kali ini sungguh bertuah kerana kanival gerakan membaca diadakan di dalam sebuah hotel yang mempunyai kemudahan yang lengkap dan selesa. Murid-murid saya  sungguh teruja walaupun  kepenatan setelah menempuhi perjalanan yang agak jauh. Tinggal di dalam hotel seperti itu adalah pengalaman baharu yang sungguh menyeronokkan bagi murid-murid saya kerana maklumlah sekolah kami berada di kawasan pedalaman.
       Kanival gerakan membaca ini mempunyai kekuatan yang sememangnya mampu memberi impak yang positif kepada para peserta. Para pegawai daripada BTPN yang terdiri daripada guru-guru berkebolehan dan berpengalaman telah berjaya menarik perhatian murid-murid semasa sesi ceramah. Murid-murid begitu bersemangat mendengar setiap slot yang menyentuh tentang teknik dan tips belajar. Para pegawai BTPN juga adalah pakar dalam bidang masing-masing. Oleh yang demikian, mereka sentiasa menyampaikan maklumat dan perkara baru yang sangat berguna untuk dipraktikkan di sekolah. Bagi saya, peluang mengikuti program sebegini adalah sangat berharga dan berupaya membantu saya mengembangkan dan meningkatkan kemahiran mengelola dan mengurus pusat sumber sekolah.
     Kanival gerakan membaca berupaya mengubah sikap murid-murid yang kurang bergaul dengan masyarakat lain. Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan murid-murid yang berlainan bangsa dapat bekerjasama serta memberi pendapat masing-masing ketika menyelesaikan masalah. Apa yang menarik perhatian saya ialah setiap orang murid yang mengikuti kanival ini menunjukkan kesungguhan untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan, Malah mereka dapat menyesuaikan diri bersama rakan-rakan yang baharu.
      Saya berasa sungguh bersyukur kerana murid-murid yang mengikuti kanival telah memberikan kerjasama dalam aspek pengurusan diri. Dengan kerjasama yang diberikan oleh murid-murid tersebut sedikit sebanyak telah memudahkan tugas kami sebagai guru pengiring. Namun begitu, kami sentiasa memastikan keselamatan dan kebajikan mereka berada pada tahap yang terbaik. Secara peribadi, saya merasakan bahawa akvititi ini mampu mewujudkan hubungan yang erat antara pelajar dan guru. Selama tiga hari berada di sini, murid-murid tidak ragu-ragu untuk memberitahu akan masalah yang mereka hadapi. Sebagai guru, sudah pastinya kita akan membantu  dan memberi nasihat yang sepatutnya.
      
        
            


Murid-murid sekolah rendah bersama
guru pengiring-guru pengiring


Para pelajar tingkatan satu bergambar
bersama guru pengiring-guru pengiring

Barisan guru pengiring

Para peserta dan para guru bergambar di dalam perpustakaan
Sekolah Menengah Agama, Sibu

Para peserta begitu tekun mendengar ceramah yang
disampaikan oleh Kak Wan

Para peserta sedang mendengar taklimat segmen ketahanan fizikal

Sebahagian daripada aktiviti jejak maklumat yang perlu
diselesaikan oleh para peserta

Sebahagian daripada para pegawai BTPN yang menjadi nadi
pengerak Kanival Gerakan Membaca 2013

segmen permainan terowong

Para peserta begitu bersemangat mengikuti aktiviti yang dijalankan


Para peserta diberi taklimat sebelum aktiviti jejak maklumat
segmen permainan Si Buta Kumpul Harta
Pengurus pasukan sentiasa bersama kumpulan masing-masing

peserta bersiap sedia untuk permainan sotong kurita

permainan jejak bertapak





Adik Mcconnel menerima hadiah setelah memenangi
tempat ke dua dalam pertandingan bercerita. Hadiah disampaikan
oleh Encik Shukri
Majlis penyampaian sijil penyertaan kepada guru pengiring dan
peserta kanival gerakan membaca 2013

Isnin, 9 September 2013

SELAMAT MENDUDUKI UPSR

Assalammualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak,

Tanpa kita disedari masa berlalu begitu pantas, saat ditunggu pun tiba. Hari ini murid-murid di Tahun Enam di seluruh Malaysia akan menduduki UPSR. Segala persiapan dan persediaan yang dibuat sejak sekian lama akan ditentukan pada hari ini dan dua hari berikutnya. Pada tahun ini seramai 26 orang murid Tahun Enam SK Sungai Sugai akan menduduki UPSR. Sudah tentunya selain daripada murid-murid, guru dan ibu bapa juga turut merasa suasana yang sungguh mendebarkan ini.

Untuk meredakan kegelisahan itu, pihak sekolah telah mengadakan upacara berdoa yang dijalankan mengikut kepercayaan masing-masing. Di samping itu, pihak guru bersama ibu bapa murid-murid Tahun Enam SK Sungai Sugai berkumpul bersama-sama bagi memberi sokongan moral kepada murid-murid berkenaan. Sebelum memasuki dewan peperiksaan, murid-murid bersalaman dengan ibu bapa dan guru-guru yang menunggu seawal 7.00 pagi.

Semoga murid-murid beroleh kejayaan yang cemerlang nanti.


Guru kelas bersama murid-murid Tahun Enam

Barisan ibu bapa yang sedia menunggu di luar kelas














Guru Besar bersalaman dengan ibu bapa yang sudi memberi kerjasama


Selasa, 3 September 2013

SELAMAT BERTUGAS DI SEKOLAH BAHARU

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam perpaduan, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak.

Warga SK Sungai Sugai mengucapkan selamat bertugas di sekolah yang baharu kepada Cikgu Zaidi Bin Abu Seman yang berpindah ke SK Bayang, Mukah bermula pada bulan ini. Beliau telah berkhidmat di sekolah ini sejak tahun 2009.
Beliau ialah guru Bahasa Inggeris dan juga pengasas kelab kebudayaan SK Sungai Sugai. Bakat dan kebolehan beliau dalam bidang kebudayaan khususnya tarian telah berjaya membentuk sebuah pasukan tarian yang mampu mengangkat dan mengharumkan nama SK Sungai Sugai. Pasukan tarian sekolah ini telah mewakili daerah Julau serta Bahagian Sarikei ke ASAT.
Pihak sekolah mengucapkan ribuan dan jutaan terima kasih kepada Cikgu Zaidi atas segala sumbangan dan bakti beliau dalam memertabatkan dunia pendidikan, khususnya mendidik anak-anak yang dahagakan ilmu di SK Sungai Sugai. Jasa dan pengorbanan beliau, sama ada berupa material,masa, tenaga atau segala-galanya adalah amatlah dihargai.
Sebagai rakan, beliau adalah seorang yang senang untuk didampingi dan sahabat yang sedia membantu.
Jasamu cikgu, akan sentiasa diingati oleh anak-anak muridmu dan kami warga SK Sungai Sugai. Kami doakan semoga cikgu akan beroleh kejayaan dan berkhidmat dengan lebih cemerlang di sekolah baharu. Dan apa yang penting, jangan lupa kami di sini.




                                   


                                                               


Bersama rakan yang banyak membantu mencungkil dan mengasah bakat murid-murid di SK Sungai Sugai