SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SK SUNGAI SUGAI

Isnin, 22 Julai 2013

PROGRAM MOTIVASI PERMATA SUGAI UPSR 2013

   Pada tahun ini, banyak program telah dijalankan oleh pihak sekolah bagi meningkatkan prestasi akademik murid-murid terutamanya murid-murid Tahun Enam yang akan menduduki UPSR pada 10,11 dan 12 September 2013. Mereka telah menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan pada sebelah petang dan juga pada cuti sekolah. Guru-guru telah memberi komitmen sepenuhnya dan bersedia untuk membimbing mereka sementelah menjelangnya  UPSR  tidak lama lagi.
   Pihak sekolah begitu menaruh harapan agar sasaran UPSR pada tahun ini dicapai dengan jayanya. Perkembangan prestasi murid-murid, terutamanya murid-murid yang belajar di Tahun Enam  sentiasa diambil berat dari masa ke semasa. Kecemerlangan murid-murid bukan hanya tertumpu pada aspek mental sahaja bahkan naluri ataupun jiwa mereka harus bergerak seiring.  Untuk tujuan tersebut, pihak sekolah dengan kerjasama PPD Julau telah mengadakan program motivasi khas dengan melibatkan murid-murid Tahun Enam dan juga ibu bapa mereka. Program motivasi yang dikenali sebagai Program Motivasi Permata Sugai telah diadakan pada 16 Julai 2013 bertempat di Dewan Makan SK Sungai Sugai.
   Pendekatan bagi program motivasi pada kali ini agak berbeza berbanding program-program motivasi yang pernah dianjurkan. Bagi menjayakan majlis tersebut pihak sekolah telah menjemput Encik Thaddeus Liyam Anak Chabo dari Unit Pengurusan Organisasi Pejabat Pelajaran Daerah Julau untuk menyampaikan ceramah. Encik Thaddeus berjaya membawa murid-murid menghayati isi kandungan ceramah  yang berkisar tentang tanggungjawab  terhadap diri, keluarga dan masa depan mereka. Sepanjang sesi ceramah tersebut banyak tips yang dikongsikan oleh Encik Thaddeus memberi manfaat kepada murid-murid untuk membuat anjakan diri yang lebih positif. 


 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan