Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak,
Pada minggu yang lepas, saya berkesempatan mengiringi dua orang murid tahun lima untuk menyertai kanival gerakan membaca anjuran BTPN di hotel Premier, Sibu. Dalam surat jemputan yang diterima, terdapat 15 buah sekolah rendah dan 15 buah sekolah menengah dikenendaki menghantar dua orang peserta yang terdiri lelaki dan perempuan. Sekolah-sekolah yang dijemput berada dalam daerah Dalat, Daro, Julau, Kanowit,Meradong, Mukah,Sarikei,Selangau dan Sibu.
Saya difahamkan bahawa kanival gerakan membaca ini diadakan bagi memberi peluang kepada murid-murid dan guru pengiring yang terdiri daripada Guru Perpustakaan dan Media mengalami sendiri aktiviti-aktiviti yang bermatlamatkan pencarian maklumat. Pada masa yang sama, murid-murid akan menyertai beberapa pertandingan yang berkaitan dengan buku, antaranya ialah pertandingan bercerita dan resensi buku.
Murid-murid yang menyertai kanival pada kali ini sungguh bertuah kerana kanival gerakan membaca diadakan di dalam sebuah hotel yang mempunyai kemudahan yang lengkap dan selesa. Murid-murid saya sungguh teruja walaupun kepenatan setelah menempuhi perjalanan yang agak jauh. Tinggal di dalam hotel seperti itu adalah pengalaman baharu yang sungguh menyeronokkan bagi murid-murid saya kerana maklumlah sekolah kami berada di kawasan pedalaman.
Kanival gerakan membaca ini mempunyai kekuatan yang sememangnya mampu memberi impak yang positif kepada para peserta. Para pegawai daripada BTPN yang terdiri daripada guru-guru berkebolehan dan berpengalaman telah berjaya menarik perhatian murid-murid semasa sesi ceramah. Murid-murid begitu bersemangat mendengar setiap slot yang menyentuh tentang teknik dan tips belajar. Para pegawai BTPN juga adalah pakar dalam bidang masing-masing. Oleh yang demikian, mereka sentiasa menyampaikan maklumat dan perkara baru yang sangat berguna untuk dipraktikkan di sekolah. Bagi saya, peluang mengikuti program sebegini adalah sangat berharga dan berupaya membantu saya mengembangkan dan meningkatkan kemahiran mengelola dan mengurus pusat sumber sekolah.
Kanival gerakan membaca berupaya mengubah sikap murid-murid yang kurang bergaul dengan masyarakat lain. Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan murid-murid yang berlainan bangsa dapat bekerjasama serta memberi pendapat masing-masing ketika menyelesaikan masalah. Apa yang menarik perhatian saya ialah setiap orang murid yang mengikuti kanival ini menunjukkan kesungguhan untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan, Malah mereka dapat menyesuaikan diri bersama rakan-rakan yang baharu.
Saya berasa sungguh bersyukur kerana murid-murid yang mengikuti kanival telah memberikan kerjasama dalam aspek pengurusan diri. Dengan kerjasama yang diberikan oleh murid-murid tersebut sedikit sebanyak telah memudahkan tugas kami sebagai guru pengiring. Namun begitu, kami sentiasa memastikan keselamatan dan kebajikan mereka berada pada tahap yang terbaik. Secara peribadi, saya merasakan bahawa akvititi ini mampu mewujudkan hubungan yang erat antara pelajar dan guru. Selama tiga hari berada di sini, murid-murid tidak ragu-ragu untuk memberitahu akan masalah yang mereka hadapi. Sebagai guru, sudah pastinya kita akan membantu dan memberi nasihat yang sepatutnya.
Murid-murid sekolah rendah bersama guru pengiring-guru pengiring |
Para pelajar tingkatan satu bergambar bersama guru pengiring-guru pengiring |
Barisan guru pengiring |
Para peserta dan para guru bergambar di dalam perpustakaan Sekolah Menengah Agama, Sibu |
Para peserta begitu tekun mendengar ceramah yang disampaikan oleh Kak Wan |
Para peserta sedang mendengar taklimat segmen ketahanan fizikal |
Sebahagian daripada aktiviti jejak maklumat yang perlu diselesaikan oleh para peserta |
Sebahagian daripada para pegawai BTPN yang menjadi nadi pengerak Kanival Gerakan Membaca 2013 |
segmen permainan terowong |
Para peserta begitu bersemangat mengikuti aktiviti yang dijalankan |
Para peserta diberi taklimat sebelum aktiviti jejak maklumat |
segmen permainan Si Buta Kumpul Harta |
Pengurus pasukan sentiasa bersama kumpulan masing-masing |
peserta bersiap sedia untuk permainan sotong kurita |
permainan jejak bertapak |
Adik Mcconnel menerima hadiah setelah memenangi tempat ke dua dalam pertandingan bercerita. Hadiah disampaikan oleh Encik Shukri |
Majlis penyampaian sijil penyertaan kepada guru pengiring dan peserta kanival gerakan membaca 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan