SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SK SUNGAI SUGAI

SEJARAH

Sehingga tahun 1964, masyarakat di Sugai menghadapi kesukaran untuk menghantar anak-anak mereka pergi bersekolah. Jarak sekolah yang terdekat terpaksa dilalui dalam tempoh satu hari perjalanan. Satu-satunya sekolah yang menjadi pilihan pada ketika itu ialah SRK Nanga Pakan.

       Keperluan dan desakan untuk mewujudkan sebuah sekolah rendah di kawasan Sugai telah membawa persepakatan di antara ketua masyarakat yang terdiri daripada  sepuluh orang tuai rumah dari rumah panjang di kawasan Sugai yang diketuai oleh TR. Billy anak Renang. Mereka telah mengemukakan permohonan kepada Majlis Kuasa Tempatan Kanowit. Kajian telah dijalankan oleh Setiausaha Majlis dan seterusnya memberikan kelulusan pada tahun 1964.
          TR. Billy anak Renang telah mendermakan sebidang tanah untuk dijadikan tapak sekolah. Pada Januari 1965, sekolah yang nama asalnya Sekolah Rendah Nanga Sawa memulakan sesi persekolahan. Kemudahan berupa sebuah bangunan yang mempunyai satu bilik darjah telah didirikan untuk menampung bilangan pelajar seramai 59 orang dan sebuah rumah guru turut didirikan. Encik James Ganda Tabor adalah guru tunggal yang ditempatkan di sekolah ini dan pada masa yang sama menjalankan tugas sebagai guru besar.
           Di sekitar tahun 1965, Jabatan Kerja Raya telah membina jalan tanah merah yang dikenali sebagai Jalan Pakan Engkamop berhampiran dengan sekolah. Pembinaan jalan tersebut telah membawa perubahan kepada  SRK Nanga Sawa. Bilangan pelajar dan kaki tangan telah bertambah dan turut menyumbang kepada pembangunan fizikal sekolah. Bangunan-bangunan baru telah dibina secara beransur-ansur atas biayaan Projek Bank Dunia, Jabatan Pendidikan di samping projek gotong- royong ibu bapa.
     Pada  tahun 1980-an, SRK Nanga Sawa telah bertukar nama berikutan kejanggalan nama asalnya. Cadangan  nama SRK Sungai telah dipersetujui untuk menggantikan nama SRK Nanga Sawa dan kekal digunakan sehingga sekarang.

Tiada ulasan: