SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SK SUNGAI SUGAI

Selasa, 3 September 2013

KIBARKAN BENDERA , SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-56

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak


Tema "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" membuatkan semangat cintakan negara semakin tersemat di dalam sanubari. Apa yang kita faham tentang erti kemerdekaan? Sebagai rakyat Malaysia, setiap warga harus memahami dengan sepenuhnya erti kemerdekaan. Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Bagi anak-anak di sekolah, terutamanya yang berada di pedalaman konsep kemerdekaan ini mungkin agak kabur. Maka  tanggungjawab guru dan kaki tangan di setiap sekolah perlu memberi gambaran yang jelas lagi jitu tentang maksud kemerdekaan yang sebenar. Tayangan video tentang rentetan peristiwa penuh bersejarah sehingga tercapainya kemerdekaan adalah pengisian yang sesuai untuk disajikan kepada murid-murid. Paling tidakpun, Jalur Gemilang harus dikibarkan di bangunan-bangunan sekolah agar suasana sambutan hari kemerdekaan itu dapat dirasai dan murid-murid peka akan hari-hari kebesaran negara kita.





KIBARKAN BENDERA









Walaupun tarikh keramat kemerdekaan negara kita baru sahaja berlalu, namun bahang sambutan masih lagi terasa. Bagi warga SK Sungai Sugai, setiap tahun sambutan kemerdekaan ini pasti diadakan walaupun secara sederhana. Sambutan kemerdekaan di peringkat sekolah pada tahun ini diadakan sehari lebih awal. Pihak guru dan kaki tangan mengambil inisiatif mengadakan perhimpunan khas itu di dalam dewan makan kerana pada pagi itu hujan turun renyai-renyai.
Kibaran Jalur Gemilang dan nyanyian lagu-lagu patriotik memenuhi atur cara pada majlis yang penuh makna itu. Tanggal 31 Ogos dan Saya Anak Malaysia adalah antara lagu yang menjadi kegemaran murid-murid dan dengan rasa megah mereka mengibarkan jalur gemilang yang diwarnakan sendiri. Menjelang hari kemerdekaan, semua murid menyertai pertandingan mewarna Jalur Gemilang yang dianjurkan oleh  gabungan panitia mata pelajaran. 
Acara kemuncak pada hari itu ialah laungan merdeka yang diketuai oleh Guru Penolong Kanan Kokurikulum Encik Aling Anak Ngumbang. Majlis pada pagi itu diselit dengan acara penyampaian hadiah kepada murid-murid yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pertengahan Penggal Kedua. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Guru Besar dan Guru Penolong Kanan-Guru Penolong Kanan SK Sungai Sugai.




MERDEKA... MERDEKA...MERDEKA.....




Tiada ulasan:

Catat Ulasan