SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SK SUNGAI SUGAI

Isnin, 9 September 2013

SELAMAT MENDUDUKI UPSR

Assalammualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak,

Tanpa kita disedari masa berlalu begitu pantas, saat ditunggu pun tiba. Hari ini murid-murid di Tahun Enam di seluruh Malaysia akan menduduki UPSR. Segala persiapan dan persediaan yang dibuat sejak sekian lama akan ditentukan pada hari ini dan dua hari berikutnya. Pada tahun ini seramai 26 orang murid Tahun Enam SK Sungai Sugai akan menduduki UPSR. Sudah tentunya selain daripada murid-murid, guru dan ibu bapa juga turut merasa suasana yang sungguh mendebarkan ini.

Untuk meredakan kegelisahan itu, pihak sekolah telah mengadakan upacara berdoa yang dijalankan mengikut kepercayaan masing-masing. Di samping itu, pihak guru bersama ibu bapa murid-murid Tahun Enam SK Sungai Sugai berkumpul bersama-sama bagi memberi sokongan moral kepada murid-murid berkenaan. Sebelum memasuki dewan peperiksaan, murid-murid bersalaman dengan ibu bapa dan guru-guru yang menunggu seawal 7.00 pagi.

Semoga murid-murid beroleh kejayaan yang cemerlang nanti.


Guru kelas bersama murid-murid Tahun Enam

Barisan ibu bapa yang sedia menunggu di luar kelas














Guru Besar bersalaman dengan ibu bapa yang sudi memberi kerjasama


Selasa, 3 September 2013

SELAMAT BERTUGAS DI SEKOLAH BAHARU

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam perpaduan, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak.

Warga SK Sungai Sugai mengucapkan selamat bertugas di sekolah yang baharu kepada Cikgu Zaidi Bin Abu Seman yang berpindah ke SK Bayang, Mukah bermula pada bulan ini. Beliau telah berkhidmat di sekolah ini sejak tahun 2009.
Beliau ialah guru Bahasa Inggeris dan juga pengasas kelab kebudayaan SK Sungai Sugai. Bakat dan kebolehan beliau dalam bidang kebudayaan khususnya tarian telah berjaya membentuk sebuah pasukan tarian yang mampu mengangkat dan mengharumkan nama SK Sungai Sugai. Pasukan tarian sekolah ini telah mewakili daerah Julau serta Bahagian Sarikei ke ASAT.
Pihak sekolah mengucapkan ribuan dan jutaan terima kasih kepada Cikgu Zaidi atas segala sumbangan dan bakti beliau dalam memertabatkan dunia pendidikan, khususnya mendidik anak-anak yang dahagakan ilmu di SK Sungai Sugai. Jasa dan pengorbanan beliau, sama ada berupa material,masa, tenaga atau segala-galanya adalah amatlah dihargai.
Sebagai rakan, beliau adalah seorang yang senang untuk didampingi dan sahabat yang sedia membantu.
Jasamu cikgu, akan sentiasa diingati oleh anak-anak muridmu dan kami warga SK Sungai Sugai. Kami doakan semoga cikgu akan beroleh kejayaan dan berkhidmat dengan lebih cemerlang di sekolah baharu. Dan apa yang penting, jangan lupa kami di sini.




                                   


                                                               


Bersama rakan yang banyak membantu mencungkil dan mengasah bakat murid-murid di SK Sungai Sugai

KIBARKAN BENDERA , SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-56

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak


Tema "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" membuatkan semangat cintakan negara semakin tersemat di dalam sanubari. Apa yang kita faham tentang erti kemerdekaan? Sebagai rakyat Malaysia, setiap warga harus memahami dengan sepenuhnya erti kemerdekaan. Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Bagi anak-anak di sekolah, terutamanya yang berada di pedalaman konsep kemerdekaan ini mungkin agak kabur. Maka  tanggungjawab guru dan kaki tangan di setiap sekolah perlu memberi gambaran yang jelas lagi jitu tentang maksud kemerdekaan yang sebenar. Tayangan video tentang rentetan peristiwa penuh bersejarah sehingga tercapainya kemerdekaan adalah pengisian yang sesuai untuk disajikan kepada murid-murid. Paling tidakpun, Jalur Gemilang harus dikibarkan di bangunan-bangunan sekolah agar suasana sambutan hari kemerdekaan itu dapat dirasai dan murid-murid peka akan hari-hari kebesaran negara kita.





KIBARKAN BENDERA









Walaupun tarikh keramat kemerdekaan negara kita baru sahaja berlalu, namun bahang sambutan masih lagi terasa. Bagi warga SK Sungai Sugai, setiap tahun sambutan kemerdekaan ini pasti diadakan walaupun secara sederhana. Sambutan kemerdekaan di peringkat sekolah pada tahun ini diadakan sehari lebih awal. Pihak guru dan kaki tangan mengambil inisiatif mengadakan perhimpunan khas itu di dalam dewan makan kerana pada pagi itu hujan turun renyai-renyai.
Kibaran Jalur Gemilang dan nyanyian lagu-lagu patriotik memenuhi atur cara pada majlis yang penuh makna itu. Tanggal 31 Ogos dan Saya Anak Malaysia adalah antara lagu yang menjadi kegemaran murid-murid dan dengan rasa megah mereka mengibarkan jalur gemilang yang diwarnakan sendiri. Menjelang hari kemerdekaan, semua murid menyertai pertandingan mewarna Jalur Gemilang yang dianjurkan oleh  gabungan panitia mata pelajaran. 
Acara kemuncak pada hari itu ialah laungan merdeka yang diketuai oleh Guru Penolong Kanan Kokurikulum Encik Aling Anak Ngumbang. Majlis pada pagi itu diselit dengan acara penyampaian hadiah kepada murid-murid yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pertengahan Penggal Kedua. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Guru Besar dan Guru Penolong Kanan-Guru Penolong Kanan SK Sungai Sugai.




MERDEKA... MERDEKA...MERDEKA.....




FOTO KELAS


TAHUN SATU


TAHUN DUA



TAHUN TIGA



TAHUN EMPAT







TAHUN LIMA






 

TAHUN ENAM





Ahad, 1 September 2013

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam menjulang Sarawak.
 
      Kejohanan Balapan dan Padang MSSR Daerah Julau 2013 baru sahaja melabuhkan tirainya pada 28  Ogos 2013. Pada tahun ini SK Nanga Kedup menjadi peneraju  Zon Pakan untuk mengelola acara tahunan ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Encik Rantai Anak Dangeh, selaku Guru Besar serta merangkap pengerusi Zon Pakan bersama barisan guru, kaki tangan dan para ibu bapa kerana berjaya menganjurkan Kejohanan tersebut yang berlangsung selama dua hari mulai 27 Ogos 2013. 
      Kejohanan Balapan dan Padang MSSR Daerah Julau melibatkan lima buah Zon yang terdiri daripada Zon Dayu, Zon Engkamop, Zon Entabai, Zon Julau dan Zon Pakan telah menghantar kontinjen masing-masing untuk berentap dalam temasya yang agak berprestij ini. Pada kejohanan kali ini, Zon Julau menjadi juara keseluruhan diikuti oleh Zon Pakan, Zon Entabai, Zon Engkamop dan Zon Dayu. Kejohanan ini telah mencapai matlamat apabila ramai atlet yang berwibawa dan berpotensi telah dipilih dan akan diketengahkan ke kejohanan yang lebih tinggi.
      Pihak sekolah berasa bangga kerana beberapa orang murid dari SK Sungai Sugai yang mewakili zon Pakan telah dipilih ke kejohanan peringkat bahagian Sarikei yang akan diadakan nanti. SK Sungai Sugai juga diberi penghormatan untuk membuat persembahan tarian pada hari pembukaan kejohanan tersebut dan sudah pastinya majlis pembukaan pada pagi itu begitu berseri dengan kehadiran mereka.
      
       
Encik Rantai sedang menyampaikan ucapan alu-aluan

Barisan penari kebudayaan SK Sungai Sugai bersama guru pembimbing

Tambah kapsyen

Encik Ramlan menyalakan obor kejohanan

Guru Besar turut memberi sokongan kepada para penari